20120121

Kisah Berkenaan Seorang Abang dan Seorang Adik

Mari bercerita, semoga kisah ini akan menjadi tauladan kepada kita semua...insyaallah.


Ada seorang abang dan seorang adik, kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan ALLAH SWT.


Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan ister yang cantik dan kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.


Si adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.


Akhirnya, ALLAH mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengan abangnya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka dan meninggalkan adiknya.


Si abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewatkan solat, jarang membaca AL-QURAN, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, ALLAH beri apa yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.


Si adik pula hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana, dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hanya mendapat kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik juga rajin berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi si abang melihat, hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas suatu hari, ketika si abang menziarahi adiknya, si abang berkata sombong :


"Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan ALLAH ni. Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat"


Si adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran abangnya amat bermakna. Si adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abangnya.


Suatu hari, si adik meninggal dunia. Ketika si abang mengemas-ngemas rumah pusaka, dia terjumpa sehelai kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa.


Si abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.


Kertas itu tertulis "Ya ALLAH, makbulkan lah segala doa abang aku"
MasyaALLAH...

No comments: